Cari Blog Ini

Ahad, 31 Oktober 2010

Pembahagian Ilmu Dalam Pendidikan Islam

             Pendidikan Islam mempunyai dua maksud.  Pertama pendidikan Islam Umum dan kedua pendidikan Islam khusus (Hasan Langgulug, 1995). Pendidikan Islam umum ialah pendidikan yang diberi kepada orang Islam dalam semua keadaan, seperti di sekolah, di rumah, di kedai, di hospital, di jalan dan lain-lain.  Ia termasuk dalam semua hal, dalam ekonomi, sosial, politik, teknik, pelajaran, permainan, sukan, pekerjaan dan sebagainya.  Pendidikan Islam khusus ialah mata pelajaran sekolah, iaitu yang termasuk di dalamnya ilmu-ilmu seperti Tauhid, Fiqah, Tafsir, Hadis, Akhlak dan sebagainaya.  Jadi, bila disebut pendidikan Islam, ia tidak semestinya bermaksud mata pelajaran agama di sekolah, malah ia  bermaksud lebih luas lagi, iaitu segala usaha untuk mendidik orang Islam menjadi muslim.

            Dengan demikian, jelas kepada kita bahawa pendidikan Islam itu ialah satu usaha mendidik insan muslim melalui nasihat, pengetahuan, ilmu, penghayatan, contoh, sekolah, rumahtangga, masyarakat, alam sekitar dan lain-lain.  Mata pelajaran sekolah ialah Pengetahuan Agama Islam atau Agama atau Ilmu Agama, atau Pengetahuan Islam.  Pendidikan Islam sepatutnya terdapat dalam semua mata pelajaran sekolah yang disampaikan oleh semua guru yang beragama Islam, manakala ilmu Agama itu merupakan satu wadah dalam pendidikan. 
Hasil daripada kajian oleh Jawatankuasa Mengkaji Mata Pelajaran Agama Islam 1974 yang dilaporkan melalui Jawatankuasa Kabinet 1979, mendapati pendidikan Islam tidak berkesan atau kurang berkesan, kerana guru lebih mementingkan ilmu dan maklumat untuk lulus peperiksaan sehingga tidak sempat hendak mendidik (Zainal Abidin Abd. Kadir, 1994). Maka pada awal tahun 1980an ditukarkan nama Pengetahuan Agama Islam kepada Pendidikan Islam dengan harapan agar tercapai hasrat mendidik anak-anak orang Islam. Lanjutan daripada itu nama Kementerian Pelajaran pun ditukar kepada Kementerian Pendidikan, Bahagian Latihan Guru (BLG) ditukarkan kepada Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Bahagian Pelajaran Agama ditukar kepada Bahagian Pendidikan Islam, dan lain-lain. 
Ini merupakan satu langkah yang baik, tetapi, jika guru tidak faham konsep pendidikan Islam dan tidak melaksanakannya seperti yang dihasratkan, apa yang dilakukan hanya memberi maklumat sahaja,  maka pendidikan Islam menjadi tidak   berkesan.  
            Sekolah merupakan institusi formal dalam proses memberi pendidikan Islam.  Pendidikan diberi berdasarkan disiplin ilmu.  Disiplin ilmu lslam khusus yang ada di sekolah ialah Aqidah, Ibadah, Akhlak, Sirah serta Tilawah Al-Quran (Lihat sukatan pelajaran Pendidikan Islam menengah dan rendah, 1997).  Selain daripada itu, pendidikan Islam juga diberi secara tidak formal melalui aktiviti kokurikulum sekolah.  Seperti bekerjasama, budaya ilmu, solat berjamaah, amanah, kebersihan, mengikut peraturan, makan beradab, tepat masa, hormat guru, mengucap salam sesama Islam, ucapan selamat kepada yang bukan Islam dan banyak lagi.  Ini semua adalah pendidikan Islam.
            Matlamat akhirnya ialah melahirkan individu muslim  yang faham Islam dan faham ilmu-ilmu Islam, seterusnya menghayati ajaran Islam dalam hidupnya dengan bahagia, berkeluarga, bermasyarakat, bertamadun, serta mendapat kesejahteraan selepas matinya.
            Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman sahabat tiak terdapat disiplin ilmu seperti di atas.  Yang ada pada masa itu ialah Al-Quran dan Sunnah Rasul s.a.w.  Semua itu sumber ilmu Islam, dan tidak pun disebut sebagai ilmu Tauhid, Feqah dan sebagainya.  Apabila membincangkan konsep ketuhanan, tentang kepercayaan kepada Allah dan hari Akhirat, maka itu Tauhid-lah namanya.  Apabila membaca ayat Al-Quran atau hadis Nabi s.a.w. yang menceritakankan tentang hal ibadat zahir, maka dari segi ilmu,  Feqah-lah namanya.  Demikianlah dengan yang lain.
            Selepas zaman sahabat, dan setelah ramai orang yang bukan Arab memeluk agama Islam, maka ulama mula merumuskan isi Al-Quran dan hadis dalam bentuk matan seperti yang ada sekarang.  Kitab hadis Imam Malik, Al-Muwatta, disusun mengikut tertib ilmu Feqah, iaitu bermula dengan hukum bersuci, solat dan seterusnya.  Beliau adalah golongan Tabi’in (golongan selepas sahabat).   Hingga ke hari ini, kebanyakan negara Islam  mempelajari Islam dalam bentuk ini.  Mana-mana kitab Feqah kita dapati sekarang disusun fihrisnya mengikut susunan ini
             Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap muslim.  Ini adalah berdasarkan sabda Nabi s.a.w. 

طلب العلم فريضة على كل مسلم

        Maksudnya:  “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam”
            Riwayat Ibnul Abdil Barr.
            Timbul persoalan; apakah ilmu yang wajib dituntut? Adakah ilmu agama sahaja atau ilmu-ilmu lain?  Dalam perbincangan ulama, Al-Ghazali (1988) menyebutkan bahawa kerana adanya Alif  Lam pada perkataan itu  ( العلم  ) maka ia menjadi ma’rifah.  Jadi ilmu yang wajib dituntut itu ialah ilmu agama sahaja.  Ilmu lain tidak sampai ke martabat wajib.  Walau pun demikian, Al-Ghazali (1975) membahagikan wajib itu kepada dua jenis, iaitu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.  Ilmu Fardhu Ain ialah segala macam ilmu untuk mengenal Allah, mengetahui sifat-sifat Allah, mengetahui perkara ghaib, mengetahui cara beribadat, halal dan haram, mengetahui ilmu yang berkaitan dengan menjaga hati dan amalan hati, seperti sabar, ikhlas, hasad, ujub, takabur dan sebagainya.    Di sinilah lahir istilah-istilah ilmu Tauhid, Feqah dan Tasawuf.  Di tampat yang lain  Al-Ghazali (1988) mengistilahkan dengan ilmu Mu’amalah dan ilmu Mukasyafah.  Semua ini dipanggil Ilmu Syara’.
            Ilmu Fardhu Kifayah ialah ilmu yang perlu diketahui untuk keperluan dan keselesaan hidup di dunia.  Tanpanya manusia menempuh kesusahan dan tidak dapat menyempurnakan tuntutan Fardhu Ain.  Contohnya seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, perindusterian, matematik, ekonomi, politik dan lain-lain.
            Maksud Fardhu Kifayah ialah cukup jika ada seorang daripada satu kumpulan orang Islam yang belajar ilmu itu dan semua orang dalam kumpulan itu terlepas daripada dosa.  Sebaliknya jika tidak ada seorang pun dalam kumpulan itu yang mengetahui ilmu ini, maka semua orang dalam kumpulan itu berdosa (Al-Ghazali, 1988).
            Perlu dijelaskan iaitu, yang dikatakan Fardhu Kifayah ialah tuntutan untuk menuntut sesuatu ilmu itu, tetapi apabila telah menceburi di dalamnya ia menjadi Fardhu Ain.  Bandingannya ialah seperti solat.  Mendirikan solat sunat hukumnya sunat, tetapi apabila mengerjakannya maka wajib mengerjakan semua rukunnya dengan sempurna.
            Dalam sistem pendidikan negara ini telah diajar kedua-dua jenis ilmu ini; Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.  Tetapi kefahaman tentang konsepnya masih kabur.  Pelajaran agama yang diajarkan dalam sekolah itu dikatakan Fardhu Ain, pelajaran lain dikatakan Fardhu Kifayah.  Pada hemat penulis, pelajaran agama yang dipelajari di sekolah itu belum lagi sempurna Fardhu Ain, malah ia merupakan asas Fardhu Ain.  Sebab itu Kementerian Pendidikan menamakan salah satu programnya bagi pelajar-pelajar Tahun 6, Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 dengan Penilaian Asas Fardhu Ain.  Maknanya, yang dipelajari itu baru asas Fardhu Ain, belum lagi Fardhu Ain yang sebenarnya. (Lihat Buku Panduan Penilain Asas Fardhu Ain (PAFA) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, 1994).
            Menurut Al-Ghazali (1988), ilmu Fardhu Ain itu ialah ilmu yang wajib diketahui oleh setiap muslim semasa ia hendak melakukan sesuatu yang wajib.  Sesuatu yang wajib itu janganlah disempitkan kepada solat, puasa dan haji sahaja, malah banyak lagi perkara wajib yang kita lakukan setiap hari.
            Contohnya, membaca Al-Quran itu hukumnya sunat, tetapi bila membaca wajib betul sebutan makhraj dan sifat huruf serta barisnya. Untuk dapat menyebut dengan betul, wajib belajar kepada gurunya yang muktabar, maka timbullah di sini ilmu Tajwid.  Dengan itu bermakna, belajar ilmu Tajwid itu wajib apabila hendak membaca Al-Quran.  
            Berniaga adalah sunnah Rasul s.a.w., bekerja sebagai penaiaga ialah mencari nafkah, mencari nafkah adalah wajib hukumnya.  Hendak berniaga wajib ada ilmu.  Jadi, pada masa itu ia wajib belajar ilmu perniagaan.  Ilmu perniagaan di sini bukan bermaksud ilmu tentang untung rugi, ekonomi, simpan kira dan sebagainya, sebaliknya  ia bermaksud ilmu syariat.  Iaitu ilmu yang membicarakan tentang apa jenis benda yang boleh diperniagankan dan apa yang tidak boleh, apakah perniagaan itu ada unsur riba atau tidak, dan banyak lagi perkara yang berkaitan yang perlu di ketahui.
            Menjadi pentadbir, ahli politik, doktor, pegawai, jurutera, guru dan sebagainya, bukan wajib.  Asalnya Fardhu Kifayah, tetapi apabila telah mencebur diri di dalamnya ia menjadi Fardhu Ain. Kerana bekerja itu Fardhu Ain, sebab mencari nafkah. Semasa menjalankan tugas wajib menjalankannya dengan betul, jika tidak betul ia berdosa dan pendapatannya haram, untuk mengetahui betul atau tidak perlu ada ilmu, untuk mendapat ilmu kena belajar.  Jadi belajar itu Fardhu Ain, kerana hendak beramal, yakni bekerja mengikut syariat Islam.  Dan ilmu yang dipelajari pada masa itu ialah ilmu Fardhu Ain.
            Belajar di sini ialah untuk mengetahui apa perkara yang mesti dibuat semasa kita bekerja  dan apa pula perkara yang tidak boleh dilakukan, iaitu yang dilarang oleh syariat.  Inilah yang dikatakan ilmu Fardhu Ain, iaitu ilmu yang mesti diketahui oleh setiap orang Islam apabila ia hendak melakukan sesuatu perkara yang wajib.
            Semua ilmu ini (Fardhu Ain, Fardhu Kifayah dan Tahsiniyat) termasuk dalam bidang pendidikan Islam.  Iaitu mendidik setiap muslim, sama ada guru, kerani, polis, askar, pentadbir, jurutera, pegawai, petani, peniaga, pemimpin dan bermacam-macam jenis pekerjaan lagi, supaya menjadi seorang muslim yang beriman dan beramal, dan terdidik dengan pendidikan Islam.  Ia faham Islam, faham tuntutan Islam dan menghayatinya.  Ia faham tentang amanah yang diberikan kepadanya dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.  Dan ia juga faham dan sedar bahawa setiap perbuatannya akan dibicarakan di hadapan Allah nanti di hari Kiamat.
            Inilah maksud pendidikan Islam seperti yang disebutkan oleh Al-attas (1979) dan Burlian Somad (1981).  Persoalannya ialah, apakah pendidikan Islam dalam sistem pendidikan hari ini menuju ke arah itu?  Atau pun masyarakat, termasuk golongan guru, masih kabur terhadap konsep dan kefahaman ini?
            Masyarakat guru, samada guru Agama atau bukan guru Agama, harus faham dengan sejelas-jelasnya konsep pendidikan Islam.  Jika betul-betul diamati dan difahami kita yakin bahawa semua guru yang beragama Islam ialah guru pendidikan Islam.  Pekerja dalam kawasan sekolah, kerani dan pengendali kantin juga pendidik Islam. Mereka sama-sama bertanggungjawab untuk mendidik murid atau pelajar yang beragama Islam di sekolah menjadi orang Islam. Seluruh orang dalam masyarakat, di rumah, di kedai, di dewan, di tempat kerja dan lain-lain adalah agen-agen pendidikan Islam dan  bersama-sama bertanggungjawab dalam pendidikan Islam, dalam erti kata menghidupkan iklim Islami, atau penghayatan Islam.  Maksudnya, jika ada sesuatu amalan atau pelakuan orang Islam yang terang menyalahi ajaran Islam, maka wajib membetulkannya dan menasihat.  Jika tidak dilakukan kita adalah bersalah dengan Allah Taala. Manakala guru Agama bertanggungjawab memberi ilmu Agama, kerana merka dipercayai mempunyai ilmu Islam yang mencukupi untuk tujuan pengajaran dan diberi tauliah untuk tujuan tersebut, dan dalam masa yang sama mereka juga mendidik. 
            Jika ini dapat difahami dengan saksama dan   dijalankan dengan baik dan teratuar, pendidikan akan dapat berjalan dengan cukup berkesan di sekolah dan dalam masyarakat.  Lanjutan daripada itu banyak masalah disiplin di sekolah dan dalam masyarakat dapat dikurangkan, kalau pun tidak dapat dihapuskan kesemuanya.
            Dengan cara inilah diharapkan matlamat pendidikan Islam akan tercapai dan masyarakat Islam akan maju seperti yang pernah berlaku pada kurun pertama dan kedua hijrah duhulu.

Pendidikan Islam



 
 
Jadilah kamu Rabbaniyin, iaitu orang-orang yang beribadat
 kepada Allah, kerana kamu mengajar isi kitab Allah, dan 
kerana kamu selalu mempelajarinya (Ali-Imran 79)

Laman ini memuatkan beberapa artikel sebagai panduan 
guru dalam pengajaran dan pemelajaran.  Ini 
termasuklah kaedah, teknik, persediaan, 
Bahan Bantu Mengajar (BBM), 
dan sebagainya.


Persediaan Awal 

Ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian sebelum memulakan pengajaran.  Antaranya ialah:
1.  Mengenal diri
Apabila kita menceburkan diri di dalam bidang perguruan, kita harus sedar siapa kita.  Kita sebagai seorang guru dan dalam kategori mana.  Dalam bahasa Arab, guru boleh diterjemahkan dengan berbagai istilah, seperti mudarris, mu`allim, murabbi, muaddib, dai`e, raais, nasih dan lain-lain
Mudarris bermaksud guru yang mengajar dan menyampaikan maklumat kepada orang lain.  Guru ini  boleh jadi orang Islam dan bukan Islam.  Kalau dia orang Islam, boleh jadi yang taat atau yang tidak taat.  Perkara yang diajar boleh jadi yang baik atau pun tidak baik.  Yang mengajar ilmu sihir pun mudarris, demikian juga yang mengajar ilmu salah atau ajaran sesat.  Semua mereka ini termasuk dalam kategori mudarris
Mu`allim ialah guru yang mengajar ilmu yang benar.  Surah al-Baqarah ayat 31 menerangkan penggunaan kalimah mu`allim yang membawa makna mengajar perkara yang benar.
Murabbi pula bermaksud mendidik.  Iaitu mendik dengan perasaan kasih dan sayang.  Walau pun perkataan ini digunakan juga untuk perkara lain, seperti memellihara binatang dan pokok, tetapi apabila dipakai kepada manusia ia bermaksud mendidik anak-anak didik dengan penuh perasaan kasih sayang.  Pemakaian ini disentuh di dalam surah al-Isra ayat 24, di mana Allah mengajar manusia supaya berdoa kepada Allah agar Allah mengasihi ibu bapa kita seperti mana mereka mendidik dan mengasihi kita semasa kita kecil dahulu. Dalam istilah ini terangkum juga di dalamnya menasihat dan membimbing.
Muaddib bermaksud mengajar adab.  Apa yang diajarkan kepada murid atau anak-anak, sama ada bentuknya ilmu, kisah, permaianan, maka semuanya itu menjurus kepada mendidik anak-anak supaya beradab.  Ilmu itu ialah adab, menuntut ilmu juga ialah adab, semasa menunutut ilmu kita perlu beradab, tanpa beradab ilmu menjadi tidak berkat.  Dengan itu, sebelum mengajar pengetahuan berkaitan, ajar dahulu cara-cara dan adab-adab belajar.
Dai`e bermakana orang yang mengajak orang lain berbuat kabajikan.  Ini maknanya guru bukan sahaja menyampaikan pelajaran, tetapi mengajar dan mengajak muridnya melakukan kebajikan dan meninggalkan kejahatan.  Dengan itu guru haruslah terdiri daripada orang yang melakukan kebajikan.
Raais bermaksud ketua atau pemimpin.  Di dalam sekolah guru adalah ketua.  Apa sahaja kata guru akan diikut oleh murid.  Ketua yang berwibawa haruslah mempunyai beberapa kriteria supaya sesuai dengan tugasnya sebagai guru dan ketua. Antaranya, ilmu, perwatakan, ketokohan, kewibawaan, akhlak, sikap dan penghayatan Islam.
Nasih dari segi bahasa ialah penasihat atau orang yang memberi nasihat.   Maksudnya di sini ialah kaunselor.  Jadi guru haruslah menyediakan masa untuk mendengar masalah murid dan seteruskan memberi cadangan, bimbingan dan nasihat.  Ia tidak terhad kepada hal-hal pelajaran sahaja, malah ia boleh juga mengenai hal-hal sikap, tujuan hidup, kerjaya dan sebagainya.
Sekarang, cuba renungkan.  Kita berada dalam ketegori mana?  Sepatutnya bukan satu.  Semua nilai-nilai itu ada pada setiap orang guru.  Dengan itu barulah pengajarannya memberi kesan yang baik,  bukan sahaja dalam aspek kognitif, malah dalam psikomor,  affektif dan perasaan.
2.  Menguasai Ilmu
Dalam hal ini ilmu boleh dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu Ilmu bidang, Ilmu Fardhu Ain dan Ilmu alat.
Ilmu Bidang ialah ilmu yang kita dianggap  pakar dalam bidang berkenaan dan itulah ilmu yang kita ajarkan kepada orang lain.  Dinisbahkan kepada guru Agama, maka ilmu agama lah bidang kita.  Justeru guru agma mesti dalam pengetahuannya tentang agama serta permasalahannya dan mantap kefahamannya.  Jika guru sains, maka pengetahuan sainsnya mesti baik.  Demikianlah dengan pelajaran lain.  Sekirannya guru tidak menguasai bidangnya sendiri, ia  tidak dapat menyampaikan pengajarannya dengan baik dan berkesan serta tidak dapat menjawab persoalan yang dikemukan oleh murid kepadanya.
Ilmu Fardhu Ain bukan berksud hukum-hukum bersuci, solat, puasa, zakat dan haji.  Ini ialah Asas Fardhu Ain.  Fardhu Ain di sini bermksud ilmu tentang tanggungjawab setiap orang Islam, termasuk mengetahui haram halal dan sebagainya.  Seorang peniaga harus mengetahui apa perkara yang boleh diperniagakan dan apa yang dilarang oleh Islam.  Sebagai pegawai apa yang perlu ia lakukan terhadap pejabatnya dan orang yang di bawahnya.  Guru pun demikian juga.  Adakah mengajar sahaja atau ada kerja-kerja lain yang perlu dilakukan.  Jika tidak dilakukan seperti yang ditetapkan apa akibatnya.  Ini semua memerlukan ilmu agama khasnya yang bekaitan dengan amanah dan tanggungjawab.
Ilmu Alat  pula bermaksud ilmu yang perlu bagi menjalankan tugas dengan lebih sempurna.  Ini juga berdasarkan kepada bidang masing-masing.  Kerani misalnya memerlukan kemahiran menaip, simpan kira dan lain-lain.  Guru memerlukan ilmu yang berkaitan dengan pengajaran, iaitu psikologi, pedagogi, sosiologi, prinsip-prinsip pengajaran, perkaedahan, penilaian, kepimpinan, bahasa dan lain-lain.
3. Mengenal murid. Ini termasuklah mengenal nama murid dan anak siapa.  Adakah murid ini bermasalah sama ada dari segi kesihatan perangai dan lain-lain.   Mengetahui tahap umurnya, mengenal ibu bapa, sosioekonomi, dan tujuan murid itu dihantar ke sekolah. Adakah untuk belajar atau memenuhkan masa, atau untuk mendapat sesuatu sahaja, bukan semua pelajaran yang ditetapkan dan sebagainya.
4.  Mempunyai kepakaran pengurusan bilik darjah.  Di dalam bilik darjah terdapat murid-murid dan benda-benda lain seperti kerusi, meja, papan tulis gambar dan lain-lain.  Guru perlu tahu bagaiman hendak mengurus segala kelengkapan bilik darjah supaya sesuai dengan mata pelajaran yang diajar dan nampak ceria dan kondusif.  Bagaiman hendak mengawal kelas supaya pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan baik dan berkesan.  Ini termasuklah kedudukan murid di dalam kelas.  Yang kecil, yang besar, yang degil, yang lemah, yang kurang pendengaran, yang kurang pengelihatan, dan lain-lain.
5.  Menguasai kemahiran starategi pengajaran.  Strategi pengajaran ada dua, iaitu Strategi Profesional dan Strategi Kasih Sayang.  Strategi profesionl termasuklah merancang, memilih tajuk, menyusun fakta, menyusun langkah-langkah pengajaran, pembinaan soalan dan sebagainya.  Manakala strategi kasih sayang ialah pendekatan sebagai ibu atau bapa kepada anak-anak.  Menolong, menasihat, bermesra dengan menggunakan bahasa isyarat danbody language setakat yang dibenarkan.


Beberapa Contoh Kaedah Pengajaran


Kaedah Perbincangan
 Tujuan: 
-        Menggalakkan pertukaran idea secara bebas tentang sesuatu topik.
-        Merangsang minat dan membimbing pelajar mendapat pengetahuan baru.

Persediaan
-        Guru merancang atau menentukan isu utama yang akan dibincangkan
-        Mengemukakan tajuk
-        Mulakan perbincangan dengan mengemukan soalan
-        Memastikan setiap pelajar berpeluang memberi pendapat, mengemukakan soalan atau bertindak balas terhadap idea yang dikemukakan
-        Menggalakkan penilaian secara objektif semasa idea dikemukakan
-        Meringkaskan atau merumuskan idea-idea dan buat kesimpulan
(Kesimpulan boleh juga dilakukan oleh pelajar)

Kaedah  Sumbang Saran
 Tujuan:
-        Menggalakkan pelajar menggunakan pemikiran imaginatif  secara kreatif
-        Untuk mendapat idea baru sebanyak mungkin dalam sesuatu isu

Pelaksanaan
-        Guru menerangkan tujuan, dan mengemukkan persoalan yang  menjadi fokus sesi berkenaan
-        Tidak mengkritik idea orang lain
-        Mengumpul sebanyak idea yang mungkin
-        Idea dinyatakan secara spontan
-        Idea yang dikemukan oleh rakan boleh dikembangkan oleh pelajar lain
-        Guru hendaklah bersikap positif terhadap idea pelajar
-        Guru berperanan sebagai pengadil dan menguatkuasa peraturan
-        Menggesa supaya setiap pelajar mengemukakan idea walaupun tidak penting

Kaedah Perbahasan
 Tujuan: 
-        Membolehkan pelajar berbincang tentang isu atau persoalan yang dibentangkan
-        Mengasah kebolehan pelajar dalam percakapan & menganalisis maklumat

Pelaksanaan

-        Guru menentukan tajuk perbincangan
-        Menentukan pelajar yang mengambil bahagian
-        Menentukan bilangan ahli bagi setiap kumpulan (3 atau 4 orang)
-        Melantik pengadil dan pengerusi majlis
-        Menentukan masa setiap ahli bercakap
-        Menentukan masa bagi setiap kumpulan membuat persediaan dan menggulung perbahasan
-        Menentukan tidak ada gangguan semasa perbahasan dijalankan
-      Pelajar lain boleh boleh ambil bahagian jika ada masa


Kaedah Bercerita

Tujuan
-        Melatih kemahiran mendengar di kalangan murid
-        Mengulang sebut fakta daripada cerita

Pelaksanaan
-        Guru menyediakan ringkasan dan fakta cerita
-        Menyediakan alat-alat yang perlu untuk menerangkan fakta.  Contoh, peta kedudukan tempat, benda-benda maujud seperti pedang dan sebagainya untuk menggayakan cerita dengan lebih menarik dan berkesan.
-        Menarik perhatian pelajar kepada cerita dan pesankan supaya mencatat fakta penting
-        Guru bercerita dengan suara yang kuat yang boleh didengan oleh seluruh kelas
-        Bercerita dengan nada dan intonasi suara yang betul, gaya atau gerak-geri serta memek muka yang sesuai mengikut situasi
-        Memberi soalan setiap langkah, seperti “Kamu tahu, lepas itu apa yang terjadi kepada Rasulullah s.a.w.?”  dsb.
-        Memberi soalan kefahaman di akhir pelajaran.


Kaedah Tunjuk Cara (Demonstrasi)
 Tujuan
-        Pelajar dapat melihat dengan jelas perkara yang belaku
-        Pelajar dapat melakunkan semula dengan cara yang betul

Pelaksanaan
-        Guru merancang bagaimana dan di mana hendak mengadakan tunjuk cara ini
-        Pastikan semua pelajar dapat melihat pertunjukkan itu dengan jelas.  Jika pelajar ramai, pecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil  seupaya semuanya dapat melihat dengan jelas
-        Guru tunjuk atau lakunkan dengan betul supaya dapat dilihat dan difahami oleh pelajar  
-        Bertanya jika ada yang kurang jelas atau tidak faham, jika perlu tunjuk semula
-        Minta beberapa orang pelajar melakunkan semula untuk menguji kefahaman mereka


Kaedah Rehlah atau Lawatan

Tujuan
-        Menambah pengalaman murid
-        Melatih kepimpinan dan tanggungjawab bagi setiap murid

 

Pelaksanaan
-        Guru kenalpasti tempat yang akan dilawati
-        Seelok-eloknya guru pernah melawat tempat itu
-        Membuat persediaan awal:
      +  Memberitahu guru besar/pengetua
      +  Memaklumkan PPD/Jabatan Pendidikan Negeri
      +  Hubungi tempat menginap dan buat tempatah jika perlu bermalam.. 
      +  Memaklumkan ibu bapa/penjaga.  Dapatkan surat kebenaran bertulis dan 
          bertandatang daripada ibubapa membenarkan anaknya mengikuti program

      +  Memaklumkan tempat yang hendak dilawati, dan minta kerjasama jika  
     perlukan pemandu (guide)
 +  Membuat aturcara tempat-tempat lawatan dan masa
-        Berpesan kepada pelajar supaya membawa buku nota dan pen
-        Berpesan supaya pelajar mencatat apa yang mereka lihat, tujuannya untuk perbincangan dalam kelas selepas balik nanti


Perkhemahan dan Perkelahan

      -    Kenalpasti tempat perkhemahan, jika perlu buat tempahan terlebih dahulu
-        Sediakan program di tempat perkhemahan
-        Sediakan senarai tugas yang akan dilakukan oleh murid secara kumpulan
-        Bahagikan pelajar mengikut kumpulan dan beri tanggungjawab, seperti memasak, menyediakan makanan, tempat permainan, tempat solat dll.
-        Hidupkan solat secara berjamaah
-        Adakan tazkirah ringkas selepas setiap solat Jamaah
-    Guru merumuskan hasil perkhemahan/perkelehan.





Kaedah Pengajaran


    Ada dua perkataan yang hampir-hampir sama maksudnya dengan kaedah dan ia memang tergolong dalam kaedah juga, iaituteknik dan pendekatan.  Mok Soon Seng (1992) mengatakan pendekatan ialah cara mendekati sesuatu mata pelajaran.  Iaitu cara bagaimana suatu mata pelajaran diajar berdasarkan objektifnya.  Jadi ia merupakan satu set teori yang sistematik. Kaedah pula ialah satu siri tindakan yang sistematik dengan tujuan mecapai objektif pelajaran dalam jangka masa pendek.  Kaedah mengajar ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun (Mok Soon Seng 1992).  Manakala teknik pula ialah kemahiran guru dalam pengelolan dan pelaksanaan  kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Mengikut Azman Wan Chik (1987) teknik itu apa yang dilihat dalam bilik darjah.  Kalau guru mengajar bahasa dengan menggunakan alat-alat komunikasi canggih dalam makmal bahasa, maka itu satu teknik.  Sekiranya seorang guru Pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz Al-Qur`an dengan mendengar bacaan dalam pita kaset, maka ini dikatakan teknik.

            Sharifah Alwiah Alsagoff (1986) mengatakan bahawa kaedah mengajar ialah peredaran ke arah satu tujuan pengajaran yang telah dirancangkan dengan teratur.  Hasan Langgulung (1981) pula mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan.  Jadi, apa saja cara yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran, maka itu adalah kaedah.  Melihat kepada misal-misal yang diutarakan oleh Sharifah Alwiah Alsagoff (1986), Mok Soon Seng (1992), Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib (1995), Atan Long (1980) dan Mahfudh Salahuddin (1987),  nampaknya yang dikatakan kaedah itu ialah yang ada nama, seperti kaedah kuliah, demonstrasi, Socrates, simulasi, inquiri penemuan, Forebel dan sebagainya.
            Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang.  Padanya, kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan wasilah, iaitu satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran.
            Demikian juga dengan Hasan Langgulung  (1981) mengatakan bahawa kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan.  Jadi apa sahaja cara tiandakan dan aktiviti yang dilakukan oleh guru untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran maka itu   adalah kaedah, walau pun ia tidak mempunyai nama-nama khas, seperti yang dibawa oleh Sharifah Alwiah, Atan Long (1981) dan lain-lain. 
            Berdasarkan kepada ini bermakna tidak ada satu kaedah yang terbaik untuk semua mata pelajaran bagi semua   pelajar  dalam semua keadaan.  Kaedah harus berubah  mengikut keadaan masa, tempat dan pelajar.  Dengan demikian, guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan pelajar.  
            Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:
          1.  kaedah mestilah secucuk dengan tujuan dan matlamat pelajaran
2.  kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang

               hendak dicapai

3.  kaedah juga haruslah sesuai dang tabiat (nature) pelajaran 

               yang diajar

4.  kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar
5.  kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru
6.  mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah

               bekenaan

7.  kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang

               ada.

         An-Nashmy (1980) mencadangkan supaya guru memilih kaedah yang boleh memberi kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar  yang diajar, malah yang memberi kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar.  Dengan cara ini pelajar akan memberi tumpuan yang padu dan dapat mengingati pelajaran dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama.  Untuk mencapai hasrat ini guru haruslah pandai memilih pendekatan yang sesuai dan teknik yang menarik dan ditambah pula dengan Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang canggih dan menarik.
            Kaedah pengajaran yang baik ialah yang mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif yang tepat dan boleh dicapai.  Di samping itu, matlamat yang hendak dituju juga mestilah terang dan jelas.  Strategi pengajaran ialah satu yang sangat penting dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Congelosi (1992) mencadangkan bahawa setiap pengajaran harus terlebih dahulu disediakan rancangannya dan dalam rancangan pengajaran ini harus mempunyai perkara-perkara berikut, iaitu:
          1.  Tujuan am (learning goal)
2.  Objektif pelajar (specific objective)
3.  Langkah-langkah pengajaran yang mengandungi aktiviti-aktivit

               tertentu untuk menolong pelajar mencapai objektif pelajaran

          4.  Perlu ada makanisma untuk memantau kemajuan pelajar

          5.  Penilaian (sumative evaluation) untuk mengukur

               pencapaian pelajar


Kata Cangelosi (1992):
Learning goal is the overall purpose of the teaching unit.  It indicates what students are expected to learn.
Specific objective, define the learning goal.  That is a number of specific skills, abilities, and/or attitude that the student to/or must acquire. (ms. 24)
            Perrott (1986) menerangkan semua aktiviti itu dalam tiga istilah yang lebih mendasar, iaitu:
           Planning
           Implementation
           Evaluation

           Tiga perkara ini dan juga langkah-langkah yang dikemukakan sebelum ini merupakan asas pengajaran yang berkesan, di sampiang pengetahuan yang patut ada pada guru.  Langkah-langkah ini disusun demikian rupa untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sesuatu yang menarik dan berkesan.  Ini yang dikatakan pengajaran yang berkesan (effective teaching).  Pengajaran dan pembelajaran yang baik, menarik dan berkesan tidak dapat diwujudkan jika tidak memenuhi kriteria tertentu seperti yang dibincangkan di atas.  Guru yang mampu menjalankan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini ialah guru yang didikasi, mempunyai wawasan yang jelas dan mengajar dengan penuh semangat untuk mencapai objektif yang terancang dengan langkah-langkah yang tersusun dengan menggunakan BBM yang menarik dan dengan pergerakannya yang cukup lincah.  Inilah dia guru yang efektif (effective teacher).
             “…effective teacher is one who is able to demonstrate the 

             ability to bring about intended learning goals”.  Parrott (1986:5)


             Oleh itu, guru haruslah merancang dengan cukup rapi sebelum memasuki kelas.  Ini termasuklah strategi pengajaran yang merangkumi isi kandungan, objektif yang hendak dicapai, pendekatan, kaedah dan teknik penyampaian, BBM yang sesuai dan penilaian yang akan dijalankan. Satu yang perlu diingatkan ialah tentang  pendidikan Islam atau penerapan nilai Islam.  Ini juga harus dirancang dengan saksama.  Iaitu  apa yang hendak dipesan kepada pelajar, apa nasihat yang akan diberi, apa nilai yang hendak ditonjokan supaya pelajar ikut dan contohi dan sebagainya.  Guru harus sedar bahawa mata pelajaran Pendidikan Islam bukan sahaja untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk menjadi seorang Islam yang beramal dengan ajaran Islam dengan cara yang betul. 
Jadi, penekanannnya ialah penghayatan Islam, bukannya peperiksaan.  Kalau guru mengajar terlalu terikat dengan orientasi peperiksaan, guru hanya berjaya menyampaikan ilmu Islam, tetapi gagal memberi pendidikan Islam, iaitu gagal mendidik anak-anak untuk menjadi orang Islam bagi memikul tugasnya sebagai hamba dan khalifah Allah.
Demikian juga dengan istilah guru berkesan (effective teacher).  Ia bukan sahaja memberi kesan dalam bidang pelajaran yang diajar, mudah faham dan diminati oleh pelajar, tetapi yang boleh menjadi contoh kepada pelajar dari segala aspek personaliti, kerana personaliti guru mempengaruhi sikap pelajar (Huitt, 1994).  Ini termasuklah gaya bercakap, kekemasan berpakaian, penghayatan nilai Islam, penjagaan masa pengajaran (engagement time), ketepatan masa dalam setiap perjanjian, keadilan dalam layanan dan sebagainya.  Ini semua mencerminkan guru muslim (Al-Ghazali, 1988; Al-Ibrashy, 1976).

Rujukan
 Abu Saleh, Muhibuddin Ahmad (1988).  Asasiyat fi turuq at-tadris 

      al-`ammah. Riyadh: Dar Al-Huda.

 Al-Kailany, Taisir dan Iyad, Mulhim (1986). At-Taujih al-fanny fi 

      usul at-tarbiyah wat-tadris. Beirut: Maktabah Lubnan.

 An-Nashmy, Ajil Jasim (1980). Ma`alim fit-tarbiyahKuweit: 

      Makatabah Al-Manar.

 Atan Long (1981). Kaedah am mengajarKuala Lumpur: Fajar Bakti.
 Azman Wan Chik (1987).  Kaedah hayati amali. Kuala Lumpur: 

       Karya Bistari.

 Cangelosi, James S.(1992). Systematic teaching strategy. New York:

       Longman.

 Hasan Langgulung (1981).  Beberapa tinjauan dalam pendidikan Islam.

       Kuala Lumpur: Pustaka Antara,.

 Mahfuzdh Shalahuddin (1987). Metodologi Pendidikan Islam. Surabaya:

       Bina Ilmu.

Mok Soon Seng (1992). Pedagogi 2: Strategi pengajaran pembelajaran

       mikro.  Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.

 Parrot, Elizabeth (1986). Effective teaching. London & New York:

       Longman, 7th ed.

 Rashidi Azizan dan Abdul Razak Habib (1995). Pengajaran dalam bilik

       darjah, kaedah & strategi. Kajang: Masa Enterprise.

 Sharifah Alwiah Alsagoff (1986). Ilmu pendidikan: pedagogi. Kuala

       Lumpur: Heinemann, ctk. 4.